Halaman

Jumaat, 4 Jun 2010

Syafaat Rasulullah S.A.W

LAYAKKAH KAMI BEROLEH SYAFAATMU Petikan daripada Majalah Solusi, Tulisan Us al-Muhaddis Umar Mohd Nor

Seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Auf bin Malik bercerita, suatu hari Nabi s.a.w. bersabda kepada kami, “Tahukah engkau apa yang telah ditawarkan Tuhanku malam tadi kepadaku?” Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah s.a.w. berkata, “Allah menawarkan kepadaku sama ada memasukkan sesetengah umatku ke dalam syurga, atau memberiku syafaat. Aku lalu memilih syafaat.” Kami lalu berkata, “Wahai Rasulullah, mintakanlah kepada Allah agar menjadikan kami termasuk dalam golongan ahli syafaatmu.” Baginda menjawab: “Syafaat ini untuk semua Muslim.” Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah ini sengaja saya pilih untuk membuka perbincangan kita tentang syafaat Rasulullah s.a.w., kerana isinya melahirkan kegembiraan di hati setiap orang yang membacanya. Makna Syafaat Secara bahasa, syafaat berasal daripada kata al-syaf’u, maknanya “genap” (lawannya ganjil). Syafaat dengan demikian mengandungi makna “menggenapkan” sesuatu, yakni membantu pihak lain melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan dirinya sendiri. Ibn al-Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, “Syafaat ialah perkataan seseorang kepada raja untuk meminta hajat bagi orang lain.” Sewaktu kita berbicara pada Hari Pembalasan, maka yang menjadi Raja pada hari itu adalah Allah s.w.t. yang menampilkan diri-Nya sebagai penentu nasib setiap makhluk. Pada hari itu, “Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izin-Nya.” (Surah al-Baqarah 2: 255). Maka hanya hamba-hamba yang sangat dekat kepada Allah sahaja yang memperoleh kehormatan untuk membantu orang lain. Keyakinan dengan adanya syafaat ini merupakan aqidah yang menjadi pegangan Ahli Sunah waljamaah. Berkata al-Qadhi Iyad al-Maliki sebagaimana nukilan Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, “Berbagai athar (hadis) yang keseluruhannya mencapai darjat mutawatir menunjukkan adanya syafaat bagi orang yang berdosa di akhirat, dan ini menjadi perkara yang telah menjadi ijmak di kalangan ulama Ahli Sunah Waljamaah sejak generasi salaf dan khalaf hingga hari ini.” Al-Qadhi Iyad juga menjelaskan bahawa sekelompok manusia daripada puak Muktazilah dan Khawarij menolak adanya syafaat ini. Mereka berhujah dengan beberapa ayat al-Quran yang kesemuanya jika diperhatikan dengan teliti, berkaitan dengan orang kafir. Maka ayat ini tidak boleh dikenakan bagi orang beriman yang melakukan dosa lalu dimasukkan ke neraka. Hal ini kerana terdapat hadis-hadis Nabi yang mutawatir menjelaskan bahawa syafaat dapat menyelamatkan mereka dengan izin Allah s.w.t. Lagi pula, kalau kita renungi secara mendalam syafaat ini sebenarnya tidak lain merupakan salah satu perwujudan daripada sifat rahmat Allah s.w.t. kepada seluruh hamba-hamba-Nya. Rahmat ini diperlihatkan melalui hamba-hamba pilihan-Nya untuk menampilkan kelebihan mereka kepada semua manusia yang lain. Syafaat Terbesar Antara hamba-hamba pilihan itu ialah Baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. satu-satunya hamba Allah yang memiliki al-Maqam al-Mahmud (Maqam yang Terpuji). Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku telah diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumku, salah satunya aku diberikan syafaat.” Hadis ini tidak bermakna bahawa syafaat hanya dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. sahaja, dan tidak dimiliki oleh nabi-nabi lain. Namun apa yang ingin kita bicarakan kali ini ialah tentang sebuah syafaat khas yang eksklusif dimiliki Rasul Akhir Zaman, iaitu apa yang dikenal dalam ilmu aqidah sebagai al-Syafaatul ‘Uzma (Syafaat Terbesar). Begitu luas dan besarnya syafaat ini, hingga ianya meliputi semua makhluk. Walaupun bukan berasal daripada umat Baginda, iaitu syafaat yang melepaskan semua ahli mahsyar yang telah penat kerana seksaan zahir dan batin sekian lama untuk menunggu proses hisab dilaksanakan. Perkara ini bersesuaian dengan sifat Baginda yang diutus Allah s.w.t. sebagai rahmat bagi sekalian alam, juga dengan syariat Baginda yang meliputi seluruh manusia. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., “pada hari kebangkitan, semua umat manusia berlutut, setiap umat akan mengikuti seorang nabi dan berkata kepadanya, “Wahai polan, tolonglah kami.” Nabi itu terus menolak, hingga mereka mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka pada saat itulah, Allah menempatkan Baginda di al-Maqam al-Mahmud (maqam yang Terpuji).” Abu Hurairah dan Anas bin Malik meriwayatkan hadis ini dengan lebih terperinci sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Ringkasnya, semua manusia pertama kali mendatangi Nabi Adam, lalu Nabi Ibrahim, lalu Nabi Musa hingga ke Nabi Isa a.s. Namun kesemua nabi-nabi ini tidak berani meminta kepada Allah s.w.t untuk memulai hisab. Semua manusia kemudiannya akan menemui Nabi Muhammad s.a.w. Baginda segera bersujud di bawah Arasy sambil memuji Allah dengan berbagai pujian yang Allah ilhamkan kepadanya. Beberapa lama kemudian, Allah berfirman kepada kekasihnya ini yang antaranya bermaksud: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu. Mintalah, maka engkau akan diberi. Dan berikanlah syafaat, maka syafaatmu akan diterima.” Pada saat itulah, Rasulullah meminta agar Allah memulai hisab untuk umatnya. Allah, Raja Hari Pembalasan segera mengabulkan permintaan tersebut. Syafaat untuk Ahli Neraka Demikianlah Syafaat Terbesar yang hanya dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Namun selain syafaat ini, Baginda terus diizinkan untuk memberikan syafaat bagi menolong setiap umatnya yang memerlukan bantuan. Di dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik, Baginda bersabda yang bermaksud: “Setiap Nabi memiliki doa yang pasti Allah kabulkan, dan aku menyimpan doa tersebut sebagai syafaat bagi umatku di akhirat nanti.” Syafaat ini diperlukan kerana Rasulullah s.a.w. memiliki bilangan umat yang paling ramai dibandingkan nabi-nabi yang lain, dan tidak semua orang daripada umat Baginda yang mencapai kesempurnaan amal. Ramai antara mereka yang terjatuh ke dalam lembah maksiat terutamanya kerana mengikuti dorongan hawa nafsu. Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku melihat apa yang dilakukan umatku setelahku, mereka menumpahkan darah saudara mereka sendiri. Aku berasa sedih melihat hal itu, namun itu telah menjadi ketentuan Allah sebagaimana yang terjadi pada umat-umat lainnya. Aku lalu meminta kepada Allah agar diizinkan memberi syafaat bagi mereka pada hari kiamat, Allah lalu mengizinkannya.” Baginda terus meminta kepada Allah untuk mengeluarkan setiap orang daripada umatnya yang berada di neraka sehingga tidak seorang pun yang tertinggal di tempat itu. Allah mengabulkan syafaat Rasulullah sebagai perwujudan janji-Nya yang maha benar, “Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga kamu menjadi puas.” (Surah al-Duha 93: 5) Al-Qadhi Iyadh menyebutkan beberapa bentuk syafaat yang Nabi s.a.w. berikan kepada umatnya. Antara lain, memasukkan sebahagian umatnya ke dalam syurga tanpa hisab, mengangkat darjat sebahagian yang lain, menyelamatkan mereka dari neraka bagi orang yang telah diputuskan masuk ke dalamnya, juga mengeluarkan sebahagian yang lain dari neraka setelah mereka memasukinya. Semua syafaat Rasulullah yang berbagai bentuk itu akan memberi manfaat kepada semua umat Baginda tanpa terkecuali. Umat Baginda ialah setiap orang yang pernah mengucapkan kalimat syahadat dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. Dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu?” Mendengar soalan itu Baginda menjawab, “Aku sudah mengagakkan bahawa engkau akan menjadi orang pertama yang bertanya tentang perkara ini, kerana kecintaanmu kepada hadis-hadisku. Sesungguhnya manusia yang paling berbahagia dengan syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang pernah mengucapkan syahadat ‘tidak ada tuhan selain Allah’ dengan ikhlas daripada dasar hatinya.” Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik yang bertanya kepada Nabi s.a.w., “Di manakah aku harus mencari tuan nanti untuk meminta syafaat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di titian sirat.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di titian sirat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di tempat penimbangan amal.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di sana?” Rasulullah s.a.w. berkata, “Carilah aku di telaga, sesungguhnya aku pasti hadir di salah satu daripada ketiga-tiga tempat ini.” Jelas di sini, Rasulullah akan selalu hadir di tempat-tempat yang sangat memerlukan di sepanjang proses hisab. Wasilah Setelah mengetahui hakikat ini, selayaknya bagi setiap Muslim yang berasa diri banyak dosa, ia selalu mengharapkan bantuan dan syafaat Rasulullah s.a.w. Dan itu dapat diusahakan dengan memperbanyakkan amalan sunah yang menjadikan kita layak mendapatkan syafaat Baginda. Siapa yang selalu melanggar sunah, semakin jauh ia daripada syafaat Nabi di akhirat. Dalam Sahih Muslim menyebut hadis daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika kamu mendengar seruan muazin, maka ucapkanlah seperti ucapannya, lalu kamu berselawat kepadaku. Maka sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintakanlah wasilah untukku, sesungguhnya demikian itu adalah sebuah tempat di syurga yang tidak patut didiami melainkan seseorang hamba Allah sahaja, dan aku berharap akulah orangnya. Barang siapa yang memintakan wasilah untukku, maka ia pasti mendapatkan syafaatku.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan